Sampah jiran bernilai RM2.17 juta

London: Suami isteri dari Stourbridge, England mendapat durian runtuh selepas menemui bungkusan plastik sampah berisi koleksi terhad mainan Star Wars yang bernilai 400,000 Pound Sterling (kira-kira RM2.17 juta).

AFP memetik laporan akhbar Times, koleksi mainan itu dibuang oleh jiran mereka.


Pasangan itu pada mulanya tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan barangan berkenaan.

Namun, anak lelaki mereka memanggil pelelong dan mendapati koleksi mainan itu termasuk figura masih dalam keadaan baik di dalam bungkusan asalnya.

“Sebahagiannya dalam keadaan lembap mungkin kerana cara ia disimpan, namun ia koleksi Star Wars terbaik pernah saya lihat.





“Malah, kami mempunyai bilangan penggemar dan pengumpul yang ramai dari seluruh dunia dan berharap urusan jual beli berjalan dengan baik,” kata pelelong berkenaan, Chris Aston.

Menurut Aston, dia tidak pasti pasangan suami isteri berkenaan teruja atau sebaliknya dengan penemuan berkenaan

“Saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai perancangan atau sebaliknya, tetapi penemuan itu ibarat mereka baru memenangi loteri,” katanya.





Antara koleksi yang ditemui figura Star Destoyer Commander yang dianggarkan berharga 32,500 Pound Sterling (kira-kira RM176,542).

Selain itu, terdapat juga koleksi terhad Palitoy Jawa yang bernilai 27,280 Pound Sterling (kira-kira RM148,187) dan dipercayai hanya 10 unit sahaja terdapat di pasaran.

Lain-lain yang ditemui adalah satu set terdiri daripada lapan figura Return of the Jedi yang dijual pada harga 1.59 Pound Sterling (kira-kira RM8.60) ketika dibeli lada tahun 1980-an, tetapi nilai pasarannya kini mencecah 1,400 Pound Sterling (kira-kira RM7,605).