Remaja murung nak terjun pokok mangga

Alor Setar: Pujukan abang bomba berjaya memujuk seorang remaja perempuan untuk tidak terjun dari pokok mangga di Lorong Air Putih, di sini, malam tadi.

Remaja perempuan berusia 16 tahun itu dipercayai kemurungan dan memanjat pokok mangga setinggi lebih empat meter itu untuk terjun.



Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.48.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Arizal Mahmud tiba di lokasi pada 10.52 malam.





“Operasi disertai tujuh anggota dan sebuah jentera dari BBP Jalan Raja.

“Setibanya di lokasi didapati remaja perempuan itu cuba untuk terjun dari pokok mangga berkenaan namun berjaya diselamatkan anggota kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.





Mohamadul Ehsan berkata, remaja itu kemudian diserahkan kepada pihak keluarga yang berada di lokasi kejadian.
Operasi tamat sepenuhnya jam 11.26 malam. Harian Metro