Pengusaha kopi rugi RM88,379.94 diperdaya ‘Nurhidayah’

Alor Setar: Seorang pengusaha kilang kopi kerugian RM88,379.94 selepas diperdaya seorang wanita yang menipu kononnya tersilap mendaftar nombor telefon mangsa dalam akaun ‘Go Payz’.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang juga lelaki berusia 63 tahun menetap di Yan itu menerima panggilan daripada wanita itu pada semalam.

Beliau berkata, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai ‘Nurhidayah’ yang memaklumkan dia tersilap mendaftar nombor telefon mangsa dalam akaun berkenaan.

“Suspek kemudian meminta mangsa memaklumkan nombor OTP/TAC yang diterima bagi tujuan kemas kini akaun berkenaan.




“Mangsa kemudian mendedahkan semua nombor OTC/TAC yang diterima kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, pada hari sama pihak bank menghubungi mangsa bertanyakan transaksi pindahan wang yang banyak daripada akaun mangsa ke dalam akaun ketiga yang tidak dikenali.

Menurutnya, mangsa yang mengesyaki sesuatu mencurigakan terus membuat semakan dengan bank dan mendapati sebanyak 33 kali transaksi pindahan sudah dilakukan dari akaun mangsa menyebabkan dia mengalami kerugian.

“Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Yan.





“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Elias berkata, sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai supaya jangan melayan sebarang panggilan daripada orang yang tidak dikenali dan jangan mudah mendedahkan sebarang maklumat kepada orang yang tidak dikenali.

Beliau berkata, pastikan membuat semakan dengan pihak bank untuk membuat sebarang pengesahan.

“Orang awam juga boleh menyemak melalii https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/ untuk kesahihan maklumat dan modus operandi terkini berkaitan jenayah komersil. – Harian Metro