Pelajar dipaksa buka baju kerana salah tempah e-hailing

Kuala Lumpur: Hanya kerana tersalah membuat tempahan perkhidmatan e-hailing, pelajar kolej trauma apabila bukan sahaja dimaki malah dipaksa berbogel sebelum suspek merakam video dan mengugut mangsa membayar sejumlah wang, Khamis lalu.



Dalam kejadian 1 pagi itu, remaja lelaki berusia 18 tahun memuat naik satu aplikasi e-hailing ketika berada di rumahnya di Hiliran Ampang, di sini, lalu secara tidak sengaja membuat tempahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa kemudian membatalkan tempahan, namun dia dihubungi pemandu e-hailing itu yang memarahinya kerana didakwa membuat tempahan palsu.

Menurutnya, mangsa menjelaskan kejadian itu sebelum suspek menamatkan perbualan mereka dan menghantar tiga mesej melalui WhatsApp memarahinya dan ingin bertemu remaja terbabit.

“Mangsa kemudian bersetuju untuk bertemu dengan suspek dan bersetuju untuk membayar tambang RM25.50 sebagai ganti rugi.

“Mereka bertemu di kediaman mangsa pada 1.10 pagi sebelum dia meminta maaf dan menyerahkan wang ganti rugi itu,” katanya kepada Harian Metro.

Nik Ros Azhan berkata, bagaimanapun suspek mengugut mangsa dengan menggunakan nama polis dan menyuruh dia menanggalkan pakaian, namun dibantah mangsa.

“Suspek tetap memaksa mangsa menanggalkan pakaiannya dan mengugut akan membuat laporan polis konon mangsa membuat tempahan palsu jika tidak mengikut arahannya.

“Selepas itu suspek meminta bayaran RM200 dan kerana bimbang mangsa mengikut arahan suspek dan memindahkan wang itu ke dalam akaun bank diberikan suspek,” katanya.

Katanya, suspek tetap mengugut mangsa melalui WhatsApps dengan meminta dia membayar RM2,000 jika tidak mahu video dia menanggalkan pakaian disebarkan serta membuat laporan polis.

“Suspek memberi tempoh dua hari kepada mangsa untuk membayar wang itu menyebabkan dia yang tertekan kemudian membuat laporan di Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut.

“Polis sudah mengenal pasti suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.