Motosikal penghantar makanan pun kena rembat

Gombak: Luluh hati seorang wanita yang juga penghantar makanan apabila motosikal digunakan untuk mencari rezeki hilang di sebuah pasar raya di Batu Caves, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, wanita berkenaan dipercayai ingin mengambil makanan untuk dihantar dan meletakkan motosikal di kawasan berkenaan.


Bagaimanapun, apabila kembali semula ke kawasan parkir, dia mendapati motosikal Yamaha 135LC itu hilang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal itu pada 3 petang.




“Polis kini sedang mengesan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, kisah kehilangan motosikal milik wanita berkenaan tular di media sosial.

Netizen turut menularkan gambar motosikal berkenaan bagi membantu mengesan motosikal itu.