Motosikal bersama set hantaran, idea spontan keluarga

MARANG: Seorang pengantin tidak menyangka idea spontan ahli keluarga meletakkan motosikal Yamaha RXZ dan NVX bersama set dulang hantaran di pelamin semasa majlis perkahwinannya dan adik perempuan di Kampung Alor Pak Bang di sini semalam, tular dalam media sosial.

Nurul Alwani Khalda, 28, berkata, idea yang dicadangkan abangnya itu sekadar simbolik kepada hantaran motosikal yang diberikannya kepada suami, Ahmad Muzzammil Samsudin, 28, di samping untuk menyerikan hantaran adiknya, Nur Fatihah, 23, dan pasangan, Ahmad Shamsuddin Norhisam, 24.


Bagaimanapun, katanya, kedua-dua motosikal yang di­letakkan di pelamin itu bukan kepunyaan suami mereka, sebaliknya, milik abang dan adiknya yang sudah lama dibeli tetapi kelihatan seolah-olah masih baharu kerana jarang digunakan.

“Saya telah menyediakan replika Yamaha 15ZR atau ‘Ysuku’ pada dulang hantaran, tetapi kenderaan itu tiada kerana digunakan suami untuk berkonvoi bersama rakannya ke rumah saya bagi majlis semalam manakala adik pula tidak memberikan sebarang hantaran motosikal.





“Idea untuk membawa ma­suk kedua-dua motosikal ke da­lam rumah bagi diletakkan di pelamin bersama set hantaran lain timbul secara spontan pada sebelah malam selepas pernikahan kami dua beradik pada petang Jumaat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat pukul 1 petang ini, gambar mengenai hantaran motosikal yang dimuat naik oleh jurugambar pengantin itu, Hazrulphoto IL Momento dalam laman Facebook miliknya pagi semalam mendapat lebih 1,200 tanda suka di samping 2,000 komen dan hampir 5,000 per­kongsian.





Nurul Alwani yang berkelulusan Sains Sukan (Sains Eksesais) dari Universiti Malaya (UM) berkata, selain tarikan hantaran, majlis perkahwinan dua pasangan pengantin itu turut mendapat perhatian tetamu apabila nama bapa suaminya, Samsudin yang kebetulan sama dengan nama adik ipar, Ahmad Shamsudin.

Katanya, perkahwinan bersama suami sepatutnya dilakukan pada Mac lalu selepas kira-kira lapan tahun berkenalan termasuk dua tahun tempoh bertunang, tetapi majlis itu ditangguhkan kepada Jun berikutan pandemik Covid-19. – UTUSAN