Lebih sejuta nombor prabayar didaftar secara meragukan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesan sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan setakat bulan lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah.



“Daripada aspek kawal selia industri, SKMM turut menjalankan audit pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian prabayar.

“Ini untuk memastikan semua nombor aktif dengan sewajarnya bagi mengelak ia disalah guna,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.





Beliau menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai inisiatif kementerian untuk memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber.

Saifuddin berkata, kementerian melalui Jabatan Penerangan melaksanakan strategi komunikasi yang terancang melalui saluran platform media sosial rasmi agensi itu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber.

Jelasnya, antara inisiatif untuk menyampaikan kesedaran kepada rakyat adalah melalui rancangan bual bicara, laporan berita, pesanan khidmat masyarakat, infografik media sosial dan media dalam talian serta hebahan program radio serta televisyen.





“Melalui CyberSecurity Malaysia (CSM), rakyat dibantu menangani penipuan siber melalui program kesedaran keselamatan siber yang berterusan dalam usaha memupuk amalan keselamatan siber dan kehidupan harian selain meningkatkan pengetahuan ancaman siber yang sentiasa berubah mengikut kemajuan teknologi.

“CSM juga menyalurkan kepakaran teknikal keselamatan siber melalui kerjasama erat dengan agensi penguatkuasa seperti polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.