KWSP tak akan buat keputusan melulu

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan menggadaikan masa depan ahlinya dengan membuat keputusan melulu mahupun terpengaruh dengan mana-mana desakan dalam isu pengeluaran Akaun 1.

Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya mendengar dan meneliti semua pandangan pelbagai pihak sebelum memutuskan pengeluaran akaun terbabit yang masih dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Kewangan.

“Kita akan melihat semua aspek secara menyeluruh dengan mengimbangi keperluan semasa ahli sebelum membuat keputusan rasional yang bukan saja akan menyelesaikan masalah hari ini tetapi menjamin kelestarian masa depan ahli.



“Masih lagi dalam proses penelitian untuk penambah baikan dan memperhalusi semua aspek.

“Semua perincian termasuk syarat, kaedah serta siapa yang layak akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu temubual hari ini.

Walaupun berdepan pelbagai tekanan termasuk ahli politik yang sebulat suara menyokong pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 itu, namun beliau berkata, cabaran itu tidak akan mematahkan semangat pasukannya dalam membuat keputusan terbaik demi jaminan masa depan ahli selari dengan peranan penubuhan dana persaraan itu.

“Saya faham ramai orang marah, bimbang, rungsing kerana kesan pandemik ini yang tidak pernah berlaku kesan sebesar ini.

“Mungkin, saya menjadi orang paling dibenci di Malaysia sekarang kerana membuat keputusan yang tidak popular, biarlah orang kecam saya tetapi akan jalankan tugas saya untuk melindungi masa depan ahli.

“Ya, kita mendengar semua pandangan, tetapi kita tetap berpegang teguh dalam membuat satu keputusan yang tidak akan menggadaikan masa depan ahli kerana keutamaan kita hanya berkhidmat untuk ahli tidak berkait rapat perkara lain termasuk tekanan politik sekalipun,” katanya.

Jika terdesak sekalipun, katanya, pengeluaran Akaun 1 akan menjadi jalan penyelesaian terakhir berikutan besar kesannya kepada ahli jika pengeluaran dilakukan pada masa ini.





“Kita ambil contoh jika seseorang ahli yang mengeluarkan RM10,000 itu kini berusia 30 tahun dan dijangka bersara pada usia 60 tahun, dia akan terkesan tiga kali ganda akibat pengeluaran itu.

“Mengikut rekod KWSP, 43 peratus atau 5.38 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 manakala 54 peratus atau 137,000 daripada 254,000 ahli berusia 54 tahun pada 2020 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

“Jadi, seharusnya pengeluaran KWSP menjadi pilihan terakhir apatah lagi kerajaan kita juga menyediakan pelbagai kemudahan bantuan bagi membantu kelangsungan rakyat ketika berdepan situasi Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata, ahli berpeluang mendapatkan khidmat nasihat perunding kewangan bertauliah seperti KWSP, Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membantu menguruskan masalah kewangan dihadapi mereka.

“Ya, ini wang anda (ahli), tetapi buat keputusan yang betul dan jangan terburu-buru jika kita tidak membuat keputusan yang baik hari ini ia akan jejaskan masa depan.





“Bukan saya kata jangan (keluarkan Akaun 1), tetapi kita hendak pastikan ahli buat keputusan rasional dan baik yang mengimbangi semua aspek termasuk untuk hari ini dan akan datang iaitu keluarkan untuk keperluan saja.

“Dalam keadaan genting ini, pastikan ahli merancang dan tahu berapa perbelanjaan keperluan dan keutamaan dalam masa terdekat ini sebelum memutuskan membuat pengeluaran,” katanya.