Johnny Depp dapat gaji penuh RM41 juta, meskipun digugurkan

London: Aktor Johnny Depp, 57, akan menerima bayaran penuh sekurang-kurangnya RM41 juta daripada Warner Bros. meskipun dia hanya terbabit satu babak sahaja dalam penggambaran Fantastic Beasts 3 selepas digugurkan dari filem itu.



Syarikat produksi terbabit dikehendaki membayar gaji penuh kepadanya, walaupun dia tidak lagi memegang watak Gellert Grindelwald dalam filem fantasi itu yang memulakan penggambaran sejak 20 September lalu.

Depp memiliki peruntukan khas wajib bayar dalam kontraknya dan berhak mendapat bayaran penuh walau apa terjadi kepada filem itu. Ia termasuk, sama ada filem itu dihentikan atau wataknya digantikan dengan pelakon lain.





Terdahulu, kekalahan Depp dalam perbicaraan kesnya dengan bekas isteri, Amber Heard dilaporkan menjadi punca namanya digugurkan daripada terus terbabit dalam penggambaran Fantastic Beasts 3.

Keputusan mahkamah tinggi London memihak kepada Amber, berkenaan tuduhan dia dikasari Depp sepanjang dalam rumah tangga mereka. Menurut mahkamah, laporan akhbar The Sun yang mengatakan aktor itu melakukan keganasan hakikatnya adalah benar.




Bagaimanapun, Depp menerusi kenyataannya merancang akan membuat rayuan terhadap tuduhan dilakukan bekas isteri terhadapnya.

“Saya berhajat untuk terus membuktikan bahawa tuduhan ke atas saya itu adalah palsu. Hidup dan karier saya tidak akan ditakrifkan dengan situasi yang berlaku sekarang,” katanya.