Joe Biden menang pilihan raya Presiden AS

KUALA LUMPUR: Calon Demokrat, Joe Biden menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 dengan memperolehi 284 undi elektoral manakala pencabarnya, Donald Trump dari parti Republikan hanya meraih 214 undi elektoral.



Agensi berita asing melaporkan, kerusi terakhir dimenangi Biden adalah Pennsylvania yang memberinya 20 undi elektoral.

Keputusan itu menyaksikan Biden menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun memenangi undi elektoral di Arizona selepas menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshire yang pernah dimenangi Hillary Clinton pada 2016.





Kejayaan pada usia 77 tahun dengan kempen bertemakan ‘A Battle for the Soul of the Nation’ juga membolehkan Biden menafikan hasrat Trump untuk menjadi presiden untuk penggal kedua.

Sementara itu, BBC melaporkan, pasukan kempen Trump memberi bayangan bahawa calon mereka tiada perancangan untuk menyerah kalah.

Donald Trump dilaporkan masih enggan menerima keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memihak kepada calon Demokrat, Joe Biden.





Beberapa minit selepas media AS mengisytiharkan kemenangan Biden, Trump menolak keputusan itu dan bertegas mahu membuktikan siapa pemenang sebenar di mahkamah.

“Fakta mudah yang jelas, pilihan raya ini masih belum berakhir. Undian yang sah penentu siapa menjadi Presiden, bukan berita dari media,” katanya menerusi kenyataan.