Enam lelaki warga asing ditahan bantu siasatan kes rogol kanak-kanak 15 tahun

AMPANG JAYA: Polis menahan enam lelaki warganegara asing bagi membantu siasatan kes rogol seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan di Ampang.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, penahanan dibuat sehari selepas mangsa berusia 15 tahun itu ditemui oleh seorang pegawai polis di Taman Komersial di Pandah Indah pada Sabtu.



“Pada 31 Oktober 2020, jam lebih kurang 5.30 petang, pengadu iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga pegawai kanan polis Bukit Aman telah melihat seorang kanak-kanak perempuan berkenaan.

“Mangsa dilihat melepak dan merayau-rayau di kawasan Taman Komersial. Pengadu bertindak menghampiri kanak-kanak perempuan berkenaan dan melakukan pemeriksaan sebelum membawa kanak-kanak terbabit ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.





“Pemeriksaan kesihatan terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan di Hospital Ampang mendapati mangsa telah dirogol lebih daripada sekali di sekitar daerah Ampang,” katanya dalam satu kenyataan media ringkas.

Jelasnya, pemeriksaan lanjutan mendapati mangsa tidak bersekolah dan pernah mendapat perlindungan Rumah Nur Kasih sebelum melarikan diri sejak awal tahun 2019.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan keenam-enam suspek pada Ahad.




“Pada 1 November 2020, enam lelaki warganegara asing telah ditangkap. Kesemua tangkapan berumur 16-25 tahun bekerja sebagai buruh kasar dan kesemua tangkapan pemegang kad UNHCR. Pemeriksaan ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Opiat dan THC,” katanya

Kesemua suspek direman sehingga 15 November depan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sehubungan itu, Mohamad Farouk menasihati orang ramai agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka.