Dua lelaki Rohingya didakwa rogol remaja 15 tahun

AMPANG – Dua lelaki Rohingya termasuk seorang remaja bawah umur berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan Ogos lalu.



Tertuduh juvana berusia 17 tahun dan Mohammed Karim Mohammad, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Normaizan Rahim dan Hakim Norhazani Hamzah

Mengikut pertuduhan, tertuduh juvana yang memakai baju T berkolar merah dan putih, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan dengan sengaja merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun tujuh bulan.

Kejadian didakwa dilakukan di tangga di Taman Komersil, Pandan Indah di sini pada jam 2 pagi Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia boleh dihukum di bawah Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan jika sabit kesalahan.





Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suriantiazila Muhamad tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh merupakan seorang pendatang asing manakala tertuduh tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan kerana tiada penjamin.

Normaizan kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.

Remaja lelaki itu didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan sama kerana dia masih di bawah umur.




Sementara bagi tertuduh kedua, Mohammed Karim yang bekerja sebagai operator kilang didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan merogol ke atas mangsa yang sama di sebuah rumah tidak bernombor di lokasi sama.

Kejadian didakwa dilakukan pada jam 3 petang, Oktober 2019 dan jam 1 petang, September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), boleh dihukum di bawah sesyen sama dengan hukuman yang sama, jika sabit kesalahan.- Sinar Harian