Anugerah Bintang Popular dibenarkan

Kuala Lumpur: Penganjuran program Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-33 dibenarkan kerana ia termasuk dalam senarai aktiviti bukan terlarang namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.


Menteri Kanan (keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program hiburan berada di bawah industri kreatif di mana termasuk dalam senarai aktiviti dibenarkan dan sudah dinyatakan dalam SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lalu.

Bagaimanapun menurutnya, semua yang terbabit perlu mematuhi SOP ditetapkan iaitu tiada penonton, wajib memakai pelitup muka, tidak membabitkan warga asing dan jumlah kru yang minimum.





“Acara itu juga akan dipantau oleh wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jika berlaku perlanggaran, penganjur akan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media MKN, di sini, tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan netizen yang mahu program itu dibatalkan susulan sukan bola sepak turut tidak dibenarkan.





Mengulas mengenai bola sepak, Ismail Sabri berkata, sukan itu pula termasuk dalam senarai aktiviti terlarang namun baru-baru ini ada rayuan daripada persatuan untuk benarkan pertandingan kerana bola sepak terlarang sejak awal lagi kerana berlaku sentuhan dan sukar melakukan penjarakan fizikal.

“Lagipun mereka terpaksa rentas negeri sedangkan ia tidak dibenarkan dalam PKPB selain bimbang di dalam bilik persalinan bagaimana hendak kawal itu semua,” katanya. Harian Metro