Aliff Syukri mohon SPRM lepas aset-aset yang dibeku

KUALA LUMPUR – Dua peguam usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman merayu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya melepaskan aset-aset yang telah dibekukan badan penguat kuasa undang-undang itu sebelum ini.

Menerusi sepucuk surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki, kedua-dua peguam berkenaan, Hasshahari Johari Mawi dan Mohd Tajuddin Abdul Razak memohon agar aset milik Aliff dan isterinya, Nur Shahida Mohd Rashid yang dirampas dan disita pada 1 Oktober lepas dilepaskan.



Katanya, mereka merupakan peguam yang dilantik bagi urusan-urusan hal ehwal perundangan yang berkaitan dengan pasangan terbabit yang juga jutawan kosmetik itu.

Berdasarkan maklumat dalam surat berkenaan, permohonan pelepasan aset-aset itu dibuat menurut peruntukan Seksyen 44(1) Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (Akta 613).

Terdahulu, Aliff Syukri telah menafikan dakwaan beliau terbabit dalam kes penipuan Macau Scam.





Beliau sebaliknya memberitahu sentiasa berusaha mencari rezeki halal selain membantu mereka yang terjejas ekonomi akibat Covid-19.

Selebriti kontroversi itu meminta orang ramai agar tidak membuat tuduhan melulu ke atas perniagaan yang didakwanya diusahakan secara halal.

Sebelum ini, SPRM sudah membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai berjumlah RM5 juta berhubung pengubahan wang yang turut mengaitkan beberapa selebriti.





Turut dirampas, sebanyak 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Sindiket cuci wang itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan dijalankan selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan. – MalaysiaGazette