PKPB: Makan di kedai dibenarkan, rentas daerah dilarang

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengadakan mesyuarat khas pada pagi Selasa bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.



Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas selesai perbincangan, beberapa SOP telah ditetapkan dan harus dipatuhi penduduk di kawasan terjejas.

Berikut antara SOP yang ditetapkan seperti diumumkan Ismail Sabri pada Selasa:

1) Polis akan mengadakan sekatan jalan raya di kawasan tempat jangkitan dengan bantuan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

2) Pergerakan rentas daerah melibatkan kawasan yang dikenakan PKPB adalah dilarang namun ada pengecualian kepada mereka yang bekerja di luar daerah.





3) Rentas daerah juga dibenarkan membabitkan kes kecemasan, pengurusan jenazah di luar daerah namun perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada polis.

4) Dibenarkan makan di restoran dan kedai namun hanya dua orang dibenarkan pada satu masa.

5) Mendirikan solat jemaah di masjid dibenarkan hanya dengan enam jemaah yang dipilih oleh pengurusan masjid. Perkara sama terpakai kepada rumah ibadat agama lain.





6) Semua aktiviti riadah tidak dibenarkan. Sukan jenis e-sport, tidak bersentuhan, sukan aktiviti luar tidak melebihi 10 orang dibenarkan. Acara sukan dengan kehadiran dengan penonton tidak dibenarkan.

7) Aktiviti hiburan termasuk di kelab malam tidak dibenarkan.