Perdana Menteri menghadap Agong selepas selesai Mesyuarat Khas Kabinet

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Abdul Aziz di sini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri bergegas ke Kuantan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, tiba di pintu masuk istana pada jam 4.40 petang ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, adalah di antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana.



Sejak jam 3 petang tadi, kumpulan media dan anggota polis mula berkumpul di pintu masuk utama Istana Abdul Aziz di sini.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan yang berlangsung itu, walaupun pelbagai spekulasi mula kedengaran sejak semalam.

Terdahulu Mesyuarat Khas Kabinet yang berakhir sebentar tadi dikatakan akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat dan ‘Darurat Politik‘ kepada Yang Di Pertuan Agong bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Dalam keadaan kerajaan hanya mempunyai 113 sokongan ahli Dewan Rakyat, kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan sentiasa menjadi bahan pertaruhan ahli politik lain.

Kabinet dikatakan menyaran supaya Muhyiddin mempersembahkan cadangan ini untuk pertimbangan Yang Di-Pertuan Agong.





Berdasarkan keadaan pandemik Covid-19 yang menular sekarang, kabinet dikatakan turut berbincang mengenai kemungkinan Tuanku mempertimbangkan cadangan menggantung Parlimen dan menjalankan ‘darurat pentadbiran’ selama 6 bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Kehadiran Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang, dalam mesyuarat khas kabinet hari ini dikatakan bagi mendapat maklum balas mengenai kemungkinan darurat pentadbiran.

Ini menguatkan lagi andaian Tuanku Agong akan mempertimbangkan darurat sebagai satu langkah sementara menstabilkan politik negara.

Jika ini berlaku Tuanku Agong akan mengambil alih pentadbiran negara dengan nasihat kabinet darurat.Ia boleh jadi kabinet sedia ada atau kabinet baharu.




Pengisytiharan darurat ini membolehkan kerajaan melakukan perbelanjaan kecemasan tanpa perlu kelulusan Parlimen.

Kerajaan sedia ada dikatakan percaya Belanjawan 2021 yang bakal dibentang November ini tidak akan lulus akibat kekurangan sokongan majoriti.

Dalam masa yang sama darurat politik ini tidak membabitkan pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia seperti darurat keselamatan.