Pelakon wanita, rakan ditahan berbasikal rentas negeri

GOMBAK – Pelakon Bella Dally bersama seorang rakan ditahan semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-dua wanita berkenaan dikesan melakukan aktiviti berbasikal sehingga merentas negeri pada 18 Oktober lalu.


Menurutnya, wanita berkenaan telah mengemas kini status Instagram berada di Genting Sempah berserta gambar swafoto bersama rakan sedang berbasikal.

“Siasatan mendapati pelakon berkenaan meletakkan kenderaan di sebuah restoran berhampiran Hospital Orang Asli Gombak sebelum memulakan kayuhan dari Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah sekitar jam 8.30 pagi pada 18 Oktober.

“Lebih kurang 10 kilometer berbasikal, mereka telah berpatah balik ke kenderaan dan seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua mereka telah ditahan dan diambil keterangan pada jam 8 malam tadi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.





“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342)/Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) No8 2020,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP PKPB yang dikuatkuasakan bagi memastikan rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan.

Bagaimanapun Bella menjelaskan, dia tidak merentasi sempadan negeri seperti yang ditularkan.

“Saya mengambil maklum laporan media termasuk yang tular di media sosial berkaitan dakwaan saya mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.




“Saya sudah memberi keterangan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Gambar yang saya muat naik di Instagram dengan kapsyen “Woohoo Genting Sempah with …” menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya merentasi sempadan negeri Selangor dah Pahang serta melanggar PKPB.

“Saya ambil maklum kekeliruan yang berlaku namun perlu saya jelaskan kami masih berada dalam negeri Selangor dan tidak merentasi sempadan antara dua negeri,” katanya.