Lelaki ditahan komen jelek, fitnah anggota polis

Sungai Petani: Lelaki ditahan polis kerana tindakannya membalas komen status berunsur jelek dan fitnah terhadap anggota polis dalam status yang dimuat naik di laman Facebook (FB), semalam.



Dalam hantaran FB awam yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin bermaksud “Orang SP” itu, pemilik akaun berkenaan bernama Mandy Chung memuat naik status bergambar empat anggota polis trafik sedang bertugas dengan keterangan “Batu 2 To Metro Road.”

Bagaimanapun, seorang pemilik akaun bernama Lo Wen Long kemudian membalas komen pada status berkenaan dalam Bahasa Mandarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, komen itu kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris yang berunsur jelek dan menimbulkan fitnah terhadap empat anggota berkenaan.

“Kami di pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ingin menegaskan empat anggota trafik yang dimaksudkan adalah sebahagian daripada penugasan Snap Check /Ops Covid-19.





“Mereka melakukan tugasan di Jalan Hospital Pakar Metro, Taman Berangan, di Sungai Petani pada 12 Oktober lalu (semalam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, pihaknya mendapati pemilik akaun FB berkenaan dilihat sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).





Beliau berkata, susulan daripada itu, pihaknya menahan lelaki berusia 44 tahun yang juga penduduk tempatan di daerah ini untuk membantu siasatan.

“Turut dirampas sebuah unit telefon bimbit jenama Oppo F9 yang dipercayai digunakan untuk tujuan itu.

“Lelaki itu direman hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, PDRM akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mereka yang menyalah gunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dalam apa jua cara yang boleh memudaratkan keharmonian masyarakat.