Kami makan dan tertidur – Nor Aqilah

BUTTERWORTH: Polis telah selesai mengambil keterangan Nor Aqilah Mohd. Safwan, 21, yang merupakan satu-satunya mangsa keracunan gas karbon monoksida yang terselamat dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh dekat sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, proses itu dilakukan sejurus Nor Aqilah dibenarkan keluar dari wad di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur minggu lalu.




BACA: 2 sahabat maut, 2 kritikal lemas karbon monoksida

Menurut beliau, daripada keterangan yang diceritakan kepada pegawai penyiasat, Nor Aqilah memberitahu, dia dan tiga yang lain termasuk kembarnya berhenti di stesen minyak tersebut kerana letih dan lapar.

“Mereka sempat membeli makanan di kedai stesen minyak dan makan sebelum kesemuanya tertidur di dalam kenderaan yang enjin hidup dan cermin tertutup rapat.





“Nor Aqilah kemudiannya tidak tahu apa-apa lagi yang berlaku dan ketika sedar dia sudah berada di hospital iaitu kira-kira seminggu kemudian,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam kejadian 16 September lalu, Nor Aqilah terselamat dalam kejadian keracunan gas karbon monoksida di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Permatang Pauh.

Bagaimanapun, kembarnya, Nor Adilah serta dua rakannya, Sharifa Fariesha Syed Fathi dan Ayunie Shazwanie Shabri yang kesemuanya berusia 21 tahun meninggal dunia akibat kejadian itu.





Sharifah Fariesha disahkan maut di tempat kejadian manakala Ayunie Shazwanie meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.

Nor Adilah pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Sementara itu, Shafee berkata, Nor Aqilah kini semakin pulih dan boleh menerima hakikat tentang kematian kembar dan rakan-rakannya itu. -UTUSAN