Bayi 8 bulan dibunuh bapa, mayat dilumur garam

BACHOK: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dipercayai dibunuh bapanya dipercayai mempunyai masalah mental menggunakan objek tumpul di Kampung Sungai Dua, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, berkata siasatan awal mendapati bapa bayi terbabit dipercayai mengalami gangguan mental.



Katanya, lebih menyedihkan mayat bayi berkenaan ditemui dalam karung guni yang disorok di bahagian dapur rumah.

“Mayat bayi berkenaan yang ada kesan cedera parah dan lebam di beberapa bahagian badan turut dilumur garam kasar dipercayai dilakukan bapa berusia 40 tahun itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengetahui kejadian selepas sepupu suspek berusia 50-an datang membuat aduan berhubung kematian bayi itu pada jam 11.30 pagi tadi.

Katanya, pengadu memaklumkan lelaki itu menghubunginya supaya melihat keadaan anak tunggalnya.

“Sebaik tiba di rumah suspek, pengadu mendapati anak suspek sudah meninggal dunia dengan keadaan mencurigakan.





“Selepas mendapat laporan, polis menyerbu rumah suspek yang berkunci dari dalam dan terpaksa memecah masuk rumah berkenaan.

“Sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kami menahan seorang lelaki dan membawa keluar seorang wanita dipercayai ibu mangsa berusia 32 tahun dalam keadaan trauma dan menangis.

“Hasil pemeriksaan menemui guni berisi mayat bayi itu yang disorokkan di bawah meja di bahagian dapur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.

Samsulmuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas bayi berkenaan, mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada seluruh badan termasuk kesan lelasan di leher kiri dan kanan bayi berkenaan.

Polis masih menyiasat termasuk kemungkinan bayi terbabit dicekik.

Polis juga percaya mangsa meninggal dunia kurang tempoh 24 jam.

“Pemeriksaan awal pihak forensik tidak menemui kesan luka berdarah pada bayi berkenaan dan mendapati badan bayi itu turut dilumur dengan garam kasar,” katanya.

Beliau berkata, kematian bayi itu dipercayai akibat objek tumpul tetapi tiada senjata ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja kampung dipercayai mengalami masalah mental sejak dua minggu kebelakangan ini.




“Hasil pemeriksaan awal juga mendapati terdapat kesan lebam dan calar di kedua-dua belah tangan kanan dan kiri si ibu dan dia dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bachok.

“Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, nenek saudara bayi itu, Masitah Mohd Ragimi, 46, berkata beliau terkejut apabila mendapat berita kematian cucu saudaranya yang juga anak tunggal pasangan berkenaan.

Katanya, kali terakhir dia ke rumah pasangan itu ialah pada Rabu lalu kerana melawat suspek yang demam akibat bisul.

“Setahu saya, mereka tidak ada masalah dan hidup aman, mangsa juga anak pertama hasil perkahwinan suspek dengan anak saudara saya,” katanya.