Air Selangor diminta pertimbang ganti rugi kepada pelanggan

KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu mempertimbangkan pemberian ganti rugi kepada pelanggan yang terjejas setiap kali berlaku gangguan bekalan air.

Presiden Forum Air Malaysia, Saral James Maniam, berkata ganti rugi adalah wajar kerana pengguna terpaksa berdepan pelbagai kesulitan sepanjang gangguan bekalan kemudahan berkenaan.


“Inilah masanya Air Selangor mempertimbangkan pemberian ganti rugi akibat gangguan air kepada penggunanya. Situasi yang sering dihadapi pengguna air di Selangor dan Kuala Lumpur begitu mengecewakan.

“Tambahan pula ramai terkesan kerana kehilangan pekerjaan, pendapatan dan peluang perniagaan disebabkan pandemik COVID-19. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, penduduk terbeban pula dengan gangguan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebelakangan ini, gangguan bekalan air beberapa kali berlaku di sekitar Lembah Klang, terbaru pada malam tadi apabila Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terpaksa dihenti tugas separa untuk kerja-kerja pembaikan paip menyalurkan bekalan air terawat yang bocor.

Bekalan air ke 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor ditutup pada jam 9 malam tadi sebelum dijangka pulih secara berperingkat mulai 2 petang ini.





Mengenai pencemaran sumber air yang turut menyebabkan bekalan kepada pengguna terganggu, Saral berkata, Air Selangor perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memperbetulkan keadaan dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan sepatutnya.

“Sebagai pengguna, kami sudah muak dan tidak mahu mendengar sebarang alasan lagi. Air Selangor perlu memastikan bekalan air mentah adalah berterusan dan sentiasa mempunyai pelan sokongan A dan B.

“Pembekal perlu sentiasa proaktif dan berusaha memastikan bekalan berkualiti serta memenuhi keperluan pelanggan,” katanya menambah, Air Selangor juga perlu memastikan bekalan air adalah berterusan walaupun ketika berlaku pencemaran air, selain mengurangkan isu kebocoran paip air.





Beliau turut mempersoalkan aspek pengendalian penyelenggaraan dan pemantauan kemudahan air oleh Air Selangor.

“Berapa lama masa diambil untuk membaiki paip yang bocor atau pecah? Sudah tiba masanya Air Selangor mengkaji semula risiko pengurusan perkhidmatannya secara menyeluruh,” katanya.

Syarikat berkenaan juga, katanya, perlu memaklumkan kepada pengguna mengenai pelan untuk menyelesaikan semua krisis berkaitan perkhidmatan pembekalan air.

“Berdasarkan Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) 2019, gangguan bekalan air di Selangor sepanjang 2018 adalah sebanyak 11,074 atau purata 30 kes setiap hari,” katanya. – sumber Berita Harian