Yan tak faham kenapa dia disisih dari Lefthanded

Kuala Lumpur: Pemain bass Lefthanded, Yan tidak tahu apa masalah membabitkannya hingga dia seolah-olah diketepikan peranannya sebagai anggota kumpulan rock legenda itu.

Yan atau nama sebenarnya Amran Marsiman berkata, sejak Disember tahun lalu, dia tidak pernah dipanggil oleh anggota Lefthanded yang lain seperti Datuk Nash (penyanyi) dan Man Kidal (gitar) sekiranya ada perbincangan atau persembahan membabitkan kumpulan itu.

Dia tidak pasti apa masalah Man Kidal dan Nash terhadapnya dan perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepadanya.


“Mereka ada nombor telefon saya dan boleh cari saya. Saya pun tak pernah berselisih faham dengan mereka. Saya juga menafikan kualiti persembahan saya yang merosot sebagai punca saya diketepikan. Kalau setakat lagu Lefthanded, sudah beribu kali saya mainkan dan ia bukan masalah. Bukan setakat dengan Lefthanded, saya juga pemuzik profesional yang bermain dengan pelbagai artis terkenal tanah air.

“Saya rasa malu nak berhubung dengan mereka. Takkanlah saya nak terhegeh-hegeh tanya mereka apa sebab dan alasannya,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Yan berkata, kali terakhir mereka beraksi bersama ialah di Konsert Rockmania 2019 @ Orkestra RTM pada 19 Oktober 2019 di Pulau Pinang.

“Itupun saya ada kerana permintaan RTM,” katanya.

Menurut Yan, dia juga tidak dimaklumkan mengenai Konsert Sunday Night Live Bersama Lefthanded di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 1 Disember tahun lalu dan Lefthanded: Hidup X Perjuangan 4 Dekad di Panggung Asia, Gombak pada 21 Disember tahun lalu.

“Saya tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya oleh sesiapa pun. Mereka bertindak mendiamkan diri dan meneruskan persembahan seolah-olah tiada apa-apa berlaku,” katanya.

Selain dua program itu, nama Yan juga disisihkan dari Konsert Lefthanded Seruan X Datuk Ramli Sarip sempena ulang tahun Lefthanded ke-40 di Singapura dan Konsert Projek G.I.L.A sempena ulang tahun ke-40 Lefthanded yang bakal berlangsung selepas ini.




Ini termasuk Konsert Minggu Ini Bersama Lefthanded yang ditayangkan di RTM pada 4 Julai lalu.

“Saya kesal kerana dalam konsert-konsert ini, Lefthanded memainkan lagu ciptaan saya antaranya Debunga Wangi, Kenangan Bersamamu dan Arah Yang Hilang. Tindakan mereka adalah tidak profesional memandangkan saya adalah pencipta lagu-lagu ini dan pada masa sama disisihkan daripada persembahan Lefthanded.

“Saya adalah anggota asal Lefthanded sejak penubuhannya pada 1979 bersama Man Kidal dan Allahyarham Man Dayak,” katanya.

Yan berkata, dia sedih dengan apa yang berlaku dan berasakan dirinya tidak dihargai dan tidak pernah ada dalam sejarah Lefthanded.

“Saya anggap Lefthanded seperti sebahagian daripada hidup saya sendiri. Ketika pelancaran Projek G.I.L.A sempena ulang tahun ke-40 Lefthanded, mereka ada menyatakan hasrat untuk wujudkan Lefthanded baru dikenali Lefthanded 2020.

“Ia membabitkan ahli-ahli dari generasi baharu. Saya tak pernah diberitahu perkara ini dan terkilan dengan idea ini kerana seolah-olah dipinggirkan dari sejarah Lefthanded,” katanya.





Yan berkata, dia berniat jujur dan masih ada komitmen terhadap Lefthanded sehingga hari ini.

“Isu ini tak dapat diselesaikan sekiranya semua pihak berdiam diri. Peminat pula anggap saya tak lagi bersama Lefthanded tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Saya memberikan tempoh selama seminggu untuk mereka berikan penjelasan berkenaan perkara ini. Sekiranya gagal, saya akan mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan undang-undang. Saya nak peminat mengingati ‘Yan’ salah seorang pemain bass yang masih aktif dalam Lefthanded,” katanya. – Harian Metro