Warga Indonesia bunuh rakan sekerja, cederakan isteri diarah periksa mental

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang buruh warga Indonesia yang sebelum ini didakwa membunuh rakan sekerjanya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri mangsa menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.


Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tiada sebarang bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan peguambela tertuduh supaya menjalani pemeriksaan mental.

Tertuduh, Junianto, 29, sebelum ini mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan membunuh warga tempatan, Zukanain Abd Aziz, 39, di ladang kelapa sawit berhampiran sebuah pondok di Kampung Beril, Paka, Dungun pada jam 2.45 pagi, pada 12 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.




Selain didakwa membunuh, tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas isteri Zukanain, Rosnah Muhamed, 34, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Junianto yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Suami Maut, Isteri Cedera Ditetak Warga Indonesia - Online NewsMahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 30 November depan untuk perbicaraan kes.





Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Datuk Alias.

Terdahulu, media melaporkan seorang buruh ladang sawit mati ditetak dengan parang oleh rakan sekerjanya di sebuah rumah kongsi di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Beril, Paka di Dungun.

Mangsa dari Kampung Bukit Nangka Santong, Paka mengalami kecederaan parah pada bahagian kiri leher sebelum disahkan meninggal dunia selepas hampir setengah jam menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka, Dungun. – Sinar Harian