[VIDEO] Wanita terhempas payung terjun patah paha, pendarahan otak

TAIPING: Penerjun payung wanita yang berhadapan masalah ketika menyertai ‘Merdeka Jump 2020’ di Lapangan Terbang Tekah, di sini kelmarin disahkan patah paha kiri dan pendarahan otak.



Kemalangan jam 9.45 pagi itu dikatakan berpunca daripada tindakan wanita itu yang gagal mengikut arahan jurulatih.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata keadaan payung terjun yang digunakan wanita itu terbuka dalam keadaan baik.





Pada ketinggian 500 kaki, mangsa bergerak ke ‘Down Wind’ walau sudah diarahkan untuk membuat pusingan persediaan mendarat.

“Namun pada ketinggian 80 kaki barulah dia buat pusingan itu tanpa membetulkan pergerakan payung, lalu menyebabkannya terhempas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sejurus kejadian mangsa yang berasal dari Selangor tidak sedarkan diri hingga hari ini, dan kini masih dirawat di Hospital Taiping.





Klip video yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial sejak kelmarin, apabila pendaratan wanita itu terganggu sehingga kelihatan seakan hilang kawalan dan berpusar di udara sebelum terhempas ke padang dalam keadaan kaki dibiarkan lurus.

Program terjunan itu yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan disertai 128 peserta, dicatat dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).