[VIDEO] Polis cari penjaga kanak-kanak pandu treler pula

Seremban: Selepas seorang bapa membenarkan anak lelakinya berusia sembilan tahun memandu Proton Saga di Kampung Bongek, Rembau, tular pula insiden sama apabila menyaksikan seorang kanak-kanak memandu sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, hasil semakan pihaknya mendapati kejadian berkenaan berlaku di Rantau, dekat sini.



“Kejadian berlaku pada 4.41 petang semalam menerusi satu video tular berdurasi 1.18 minit memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur dirakam sedang memandu sebuah treler jenis Hino.

“Kejadian berlaku di kawasan Rantau, Seremban dan satu laporan polis diterima berkait video yang tular itu kerana bapa kanak-kanak terbabit dengan cuai membiarkan anak bawah umur memandu treler.




“Kita sedang mengesan bapa kepada kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut termasuk umur kanak-kanak terbabit masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.