Singapore Airlines akan lancar penerbangan tanpa destinasi

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) merancang memulakan penerbangan tanpa destinasi, iaitu perjalanan pergi dan balik di lapangan terbang yang sama dalam usaha merangsang semula perniagaannya yang terjejas.

Menurut laporan Straits Times, penerbangan daripada Lapangan Terbang Changi dijadualkan bermula penghujung Oktober ini dan turut dipakejkan bersama penginapan di hotel, baucar membeli belah dan perjalanan feri limosin yang mana setiap penerbangan dijangka mengambil masa tiga jam.



Projek berkenaan bakal direalisasikan selepas satu tinjauan menunjukkan 75 peratus dari 308 peserta menyatakan persetujuan membeli tiket bagi penerbangan berkonsepkan norma baharu itu.

Sekatan perjalanan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 mengakibatkan industri penerbangan di seluruh dunia terjejas teruk.





Syarikat penerbangan seperti SIA lebih terkesan kerana tidak menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan jumlah penumpang tidak akan kembali seperti fasa sebelum berlakunya pandemik sehingga 2024.

Selain SIA, pada bulan lalu, beberapa syarikat penerbangan di Jepun dan Taiwan turut melancarkan kempen sama antaranya All Nippon Airways (ANA) dan Starlux Airlines.




Khamis lalu, syarikat penerbangan kebangsaan Singapura itu berkata, pihaknya akan mengurangkan 20 peratus tenaga kerjanya, meskipun mengumpulkan kira-kira AS$8 bilion (RM33.2 bilion) melalui pinjaman dan terbitan hak pada bulan Jun, serta menerima bantuan dari program sokongan pekerjaan dari kerajaan.

– AGENSI