Pemandu selamat cangkuk kren hempap kereta

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan video yang tular di media sosial kononnya sebuah kereta ditimpa besi daripada struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Len Seng, Cheras, malam tadi sebagai tidak benar.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, kereta jenis Proton Saga terbabit sebaliknya dihempap cangkuk kren yang merempuh kenderaan terbabit.

Katanya, pemandu kereta berkenaan, P Sivalingam yang juga pemandu e-hailing berusia 55 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati pemandu kereta itu membelok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, lalu dirempuh sebuah kren dari belakang yang sedang bergerak di jalan sama.





Polis sahkan bukan besi jatuh, pemandu kren larikan diri – Suara Merdeka“Akibat kemalangan itu, cangkuk kren itu menghempap bumbung kereta berkenaan. Pemandu yang tersepit dalam kereta dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

“Pemandu kren yang masih tidak membuat laporan polis dipercayai tidak memberhentikan kenderaannya dan bertindak meninggalkan kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang serpihan objek lain dalam kereta.




“Lokasi kejadian adalah di simpang tiga dan kemalangan berlaku ketika hujan lebat.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 3(2) B Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 3(2) BLN 166/59),” katanya.

Sebelum ini, seorang wanita yang nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE, disahkan patah tangan kiri dan tulang selangka akibat kejadian itu.

Mangsa dikenali sebagai Wan Aqila Hanen Wan Maliki, 25, yang dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini, kelmarin dilaporkan berada dalam keadaan stabil.