Pegawai polis ugut dua anggota ketika serbuan kelab malam ditahan

Petaling Jaya: Tindakan seorang pegawai kanan polis melakukan provokasi dengan menghina dan cuba mengugut anggota polis bertugas berhampiran sebuah pusat hiburan di Kelana Jaya, Selangor, ‘memakan diri’ apabila dia ditahan, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku apabila dua anggota kereta peronda polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti menerima maklumat berhubung sebuah pusat hiburan masih beroperasi jam 2 pagi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pusat hiburan itu didapati masih beroperasi dan terdapat ramai pengunjung di dalam premis berkenaan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki dipercayai pengunjung pusat hiburan itu muncul memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.




“Dalam kejadian ini, pegawai kanan polis terbabit melakukan provokasi dengan menghina dan cuba mengugut anggota polis bertugas itu,” katanya.

Nik Ezanee berkata, pegawai kanan polis itu bagaimanapun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Semakan mendapati pegawai kanan polis berusia 39 tahun itu masih bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dalam kawasan kontinjen Selangor.





“Saya memberi peringatan keras kepada semua pihak termasuk anggota polis supaya mengekalkan disiplin dan tidak mengganggu pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Tindakan disiplin dan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan,” katanya.