Lelaki maut diseret treler

Sungai Buloh: Seorang lelaki meninggal dunia dalam keadaan mengerikan apabila digilis dan diseret treler sejauh 14 meter dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Buloh menghala ke Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.29 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Hafiz, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di bahagian abdomen dan pinggang hampir putus.



Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal Modenas Kriss, sebuah treler serta sebuah kereta Proton Waja.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki warga Bangladesh dalam perjalanan dari arah Subang cuba mengubah haluan ke kiri.





“Tindakan itu menyebabkan mangsa yang berada di belakang kenderaan berkenaan dari arah yang sama tidak sempat mengelak dan terlanggar belakang kiri kereta terbabit lalu terjatuh di atas jalan sebelah kiri.

“Pada masa sama, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu menggilis dan menyeret mangsa kira-kira 14 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menahan pemandu kereta Proton Waja terbabit untuk siasatan lanjut.

“Semakan mendapati lelaki warga Bangladesh itu tidak mempunyai lesen memandu dan kereta Proton Waja yang dipandunya adalah milik majikan.




“Selain itu, kami juga akan meneliti tindakan lanjut yang boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Fahmidi talian 014-3667353 untuk tindakan lanjut,” katanya. – Harian Metro