Kubur wanita baru ditanam digali, kain kafan hilang

Jakarta: Penduduk di Jombang, Jawa Timur gempar dengan penemuan kubur terbuka dipercayai digali pihak tertentu, Ahad lalu.

Selain kubur itu, tiga lembar kain kafan yang digunakan untuk jenazah lain sehari sebelumnya juga didapati hilang.


Kompas.com melaporkan, kejadian berlaku di Dusun Sumberbeji, Ngoro di Jombang dipercayai membabitkan kubur wanita berusia 26 tahun yang dikebumikan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ngoro, Yanuar berkata, kubur wanita itu ditemui digali dan berselerak jam 4 petang waktu tempatan.




Katanya, siasatan mendapati satu bahagian daripada kain kafan jenazah hilang.

Turut ditemui pinggan yang dipercayai digunakan untuk menggali kubur itu.

“Kami jumpa pinggan yang diperbuat daripada zink dan dipercayai digunakan untuk kerja menggali” katanya.





Menurutnya, kubur itu sudah ditimbus semula oleh ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Yanuar berkata, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.