Kes conteng mural: Polis sahkan tiga wanita sudah dibebaskan

SHAH ALAM – Polis mengesahkan sudah merekod keterangan tiga wanita bagi membantu siasatan kes conteng mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, keterangan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu yang pada mulanya disyaki terlibat dalam kes terbabit diambil tiga minggu lalu.


Beliau berkata, bagaimanapun ketiga-tiga wanita warga tempatan itu dibebaskan kerana tiada bukti kukuh mereka terlibat dalam kes berkenaan.

“Selepas menemuduga mereka, kita mendapati mereka mempunyai alibi yang kukuh dan tidak boleh mensabitkan mereka dengan jenayah itu.

“Kesemua wanita terbabit telah dibebaskan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2020 di SEERS Berhad, di U5 Shah Alam di sini hari ini.




Beliau berkata, polis masih lagi berusaha dan terus bekerjasama dengan pihak Bukit Aman dari segi teknikal untuk mengenal pasti pelaku yang terlibat dalam kes berkenaan.





Pada 20 Julai lepas, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kelibat dua wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan tular di media sosial.

Susulan perbuatan vandalisme itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam mengambil tindakan memadamkan semua mural dengan mengecat semula dinding itu. – Sinar Harian