Kes bunuh Nurin Jazlin pada 2007 tidak pernah ditutup

Kuala Lumpur: Siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes bunuh Nurin Jazlin Jazimin sentiasa aktif dan tidak pernah ditutup.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang memaklumkan bukti penting dalam kes berkenaan sentiasa berada dalam bank data PDRM.



“Kes ini sentiasa aktif, namun PDRM masih belum mendapat apa-apa petunjuk baharu.

“Bagaimanapun, bukti-bukti penting seperti deoxyribonucleic acid (DNA) berhubung kes ini masih berada dalam bank data kami untuk rujukan apabila diperlukan kelak,” katanya dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes berkenaan.





“Kami tidak pernah tutup kes itu. Kalau ada petunjuk baharu, kami akan ambil tindakan,” katanya dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007.

Mangsa dikatakan dilarikan seorang lelaki menaiki sebuah van putih.





Pada 17 September 2007, polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum keputusan ujian DNA mengesahkan mangsa adalah Nurin Jazlin.