Kejayaan rampasan dadah terbesar dalam negara tahun ini

Kuala Lumpur: Disifatkan antara siri kejayaan rampasan dadah terbesar dalam negara sejak awal tahun ini.

Itu adalah antara kejayaan terbaru dicapai anggota polis narkotik dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas berjaya merampas dadah mencecah nilai RM60 juta dalam tempoh tiga hari.

Dalam rampasan pertama, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Kota Bharu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menyerbu sebuah rumah di Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan pada jam 10 malam, Selasa lalu.


Sumber berkata, hasil pemeriksaan menemui bungkusan guni yang diletakkan di atas lantai ruang tamu rumah tanpa penghuni itu.

“Hasil pemeriksaan pada kandungan guni itu menemui ganja seberat lebih 1,200 kilogram (kg), syabu (lebih 970kg), pil Yaba (11,800 biji) selain sepucuk pistol model Glock dan lapan peluru hidup.

“Semua dadah itu dianggarkan bernilai lebih RM42 juta mengikut harga pasaran,” katanya.

Dalam rampasan kedua kelmarin, sepasukan anggota PGA berjaya merampas 441kg dadah syabu berhampiran Sungai Golok, Kelantan.

Menurutnya, rampasan itu adalah hasil operasi Op Benteng Covid dilakukan PGA melalui penugasan di sempadan Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata, semua dadah itu ditemui sekitar jam 7 pagi ketika penugasan dilakukan anggota PGA di dalam hutan berhampiran Sungai Golok dan sempadan Rantau Panjang, Kelantan.

“Anggota PGA yang melakukan rondaan dikatakan terserempak 21 guni plastik mencurigakan yang diikat dengan tali ditinggalkan di atas tanah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kandungannya menemui 20 peket berisi ketulan dadah syabu di dalam setiap guni berkenaan. Semua 420 peket dadah seberat 420kg itu dianggarkan bernilai hampir RM17 juta mengikut harga pasaran,” katanya.

Menurutnya, turut ditemui satu guni lain berisi 21 peket dadah syabu siap dibungkus bernilai hampir RM1 juta di lokasi berdekatan.

“Semua dadah syabu dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM18 juta.





“Siasatan mendapati semua dadah itu dibungkus rapi di dalam paket plastik berwarna hijau dengan tulisan Chinese Tea,” katanya.

Susulan penemuan itu, semua dadah berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Polis percayai dadah syabu seberat 441kg itu cuba diseludup masuk ke negara ini melalui negara jiran. Bagaimanapun suspek dipercayai sempat melarikan diri sebelum sempat memindahkan guni dadah itu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menggagalkan cubaan empat sindiket penyeludupan dadah syabu, ganja dan pil yaba.“Susulan penemuan dadah dan senjata api itu, polis kini meneruskan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ramli Din yang dihubungi mengesahkan kejayaan polis berkenaan.

Kelmarin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 537kg dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Dadah itu disyaki cuba diseludup dari Thailand ke pulau peranginan ini menerusi perairan negara.

Namun 14 bungkusan mengandungi ketulan mampat ganja itu ditemui terapung pada kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Chorong dekat sini kira-kira jam 9.30 pagi.




Sementara itu pada 28 Julai lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din mendedahkan kejayaan polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah terbesar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila merampas pelbagai dadah seberat 296.8kg bernilai RM25.6 juta dalam beberapa siri serbuan pada 22 hingga 24 Julai.

Seramai 23 individu berusia antara 25 hingga 57 tahun termasuk ketua sindiket terbabit turut ditahan dalam serbuan di ibu negara, Selangor, Johor dan Pahang.

Sebelum itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik perniagaan susu unta dan susu kambing pracampuran.

Dalam operasi 4 Jun lalu, Kastam merampas 2,500kg dadah ketamin bernilai RM100 juta, iaitu rampasan terbesar tahun ini.

Rampasan dilakukan susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor. – HMetro