Jason Lo, rakan didakwa pecah amanah RM232,500

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Jason Jonathan Lo atau lebih dikenali LO atau Jason Lo bersama seorang rakannya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah jenayah iaitu menggunakan wang syarikat sebanyak RM232,500 pada April tahun lalu.

Jason Lo, 45, dan Muhammad Yakub Hussaini, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.


Mengikut pertuduhan, mereka yang merupakan pengarah syarikat diamanahkan wang milik syarikat, melakukan kesalahan itu untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan didakwa dilakukan di Syarikat Fat Boys Record Sdn Bhd di Plaza Mont Kiara, Brickfields di sini pada 24 April 2019 dan 14 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.





Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub meminta mahkamah memberikan tertuduh jaminan sebanyak RM30,000 seorang.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Alfred Chong merayu kadar jaminan itu dikurangkan dan bersedia untuk mematuhi semua syarat ditetapkan mahkamah.

Sabariah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 seorang dan turut menetapkan 2 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.




Pada November tahun lalu, Jason Lo turut dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menceroboh sebuah rumah dan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.