Bapa maut dipercayai dibunuh anak selepas bergaduh

IPOH, 12 Sept — Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dipercayai angkara perbuatan anak sendiri selepas bergaduh di kediaman mereka di Pasar Basah Gunung Rapat di sini, malam ini.



Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamed Nordin Abdullah berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang ramai yang memaklumkan berlaku pergaduhan di rumah berkenaan kira-kira 7 malam.

Katanya sebaik tiba di lokasi, suspek lelaki, 49, berada di sebelah mayat bapanya, yang berusia 79 tahun.





“Mangsa dipercayai dipukul dengan botol kaca di bahagian muka dan kepala. Kami anggap kes ini selesai selepas tertangkapnya suspek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.



Menurut Mohamed Nordin suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun mempunyai rekod pesakit mental selama 20 tahun dan dia berniaga di pasar bersama ayahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA