Arwah Zulfarhan dikelilingi lebih 20 orang

Kuala Lumpur: Tiga tertuduh yang didakwa mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bahawa mereka masing-masing melihat mangsa dikelilingi lebih 20 individu di bilik asrama universiti itu.

Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal dan Muhammad Danial Firdaus Azmir kesemuanya berusia 24 tahun berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di dalam kes itu.

Saksi pembelaan ke 14, 15 dan 19 itu berkata, mereka juga melihat Zulfarhan Osman duduk di atas kerusi di tengah-tengah bilik 4-10, blok penginapan asrama Jebat sambil dikelilingi 20 individu lain pada 22 Mei 2017 lalu.




Mohamad Lukhmanul Hakim berkata, ketika beliau kembali ke biliknya (4-10) dari bilik 4-07, dia nampak Zulfarhan Osman duduk di atas kerusi manakala tertuduh Abdoul Hakeem Mohd Ali, Muhammad Azamuddin Mad Sofi dan saksi pendakwaan ke-25, Mohd Syafiq Abdullah duduk di atas meja.

“Kemudian saya pergi ke katil saya baring dan tidur,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Mohamad Lukhmanul Hakim dan Ahmad Shafwan semasa pemeriksaan utama pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Bilik 4-10 adalah bilik yang Zulfarhan Osman didakwa dipukul dan ditekap seterika wap.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, adakah kesemua mereka (lebih 20 individu) di dalam bilik 4-10 pada 22 Mei 2017 menghadap Zulfarhan Osman, beliau menjawab “Tidak juga”.

Julia: Azamuddin (Muhammad Azamuddin), Hakeem (Abdoul Hakeem) dan Syafiq (Mohd Syafiq) mereka menghadap Zulfarhan?

Mohamad Lukhmanul Hakim: Ya, tiga orang pandang arwah.

Julia: Saya cadangkan, soal menyoal ke atas Zulfarhan masih berlaku (pada 22 Mei 2017)

Mohamad Lukhmanul Hakim: Saya tidak pasti, saya dengar suara bersembang.




Sementara itu, Ahmad Shafwan juga bersetuju dengan Julia bahawa terdapat perbualan pada malam Zulfarhan dikelilingi lebih 20 individu di bilik 4-10.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan Julia bahawa perbualan itu adalah mengenai kehilangan komputer riba tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.




Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 30 September depan.