Anjing gigit tangan bayi sampai putus kini ditahan

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan pemilik anjing yang menggigit tangan kanan bayi perempuan berusia tujuh hari sehingga putus di Bachang di sini Selasa lalu, tidak mempunyai lesen peliharaan haiwan itu.



Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, anjing jenis ‘Plott Hound’ itu telah ditahan dan diserahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri untuk tindakan kuarantin selama dua minggu bagi memastikan tiada gejala penyakit anjing gila (rabies).

“Susulan laporan diterima berkaitan kejadian Selasa lalu, sepasukan anggota MBMB bersama pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri telah pergi ke lokasi kejadian di Taman Widuri, Bachang.

“Siasatan kemudian mendapati pemilik lelaki berusia 41 tahun itu tidak mempunyai rekod pemilikan lesen anjing baka Jerman yang jarang dipelihara dan tidak boleh dilesenkan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2, 000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Aidi Mohamad berkata, kuarantin haiwan dibuat selama 14 hari dan jika ada tanda-tanda virus rabies, anjing akan dilupuskan.





“Tangkapan anjing jantan yang telah menggigit bayi berkenaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 untuk pemerhatian penyakit anjing gila (Rabies).

“Jika tiada tanda penyakit, anjing akan diserahkan semula kepada MBMB selepas tempoh kuarantin untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi, 8 September lalu, seorang bayi perempuan yang baharu berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan ahli keluarganya, di Bachang di sini.

Kejadian berlaku ketika bayi berkenaan dijaga makciknya di rumah.

Katanya, ketika kejadian, wanita terbabit membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah dengan tujuan untuk dikenakan cahaya matahari bagi mengurangkan masalah penyakit jaundis (demam kuning).





“Ketika itu, bayi sulung pasangan itu baru sahaja diberi susu oleh ibunya yang masih berpantang dan ditemani suami yang sedang berehat di tingkat atas rumah.

“Ketika hendak memandikan bayi berkenaan, makciknya meletakkan bayi itu seperti biasa di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat untuk dikenakan cahaya matahari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wanita itu kemudian meninggalkan bayi seketika untuk mengambil air mandian.

“Apabila kembali semula ke pintu, wanita itu terkejut apabila melihat tangan kanan bayi tersebut sedang digigit seekor daripada anjing peliharaan milik suaminya.

“Dalam keadaan panik itu dia melihat anjing berkenaan menggigit tangan kanan bayi di luar pagar diikuti tangisan kuat bayi yang berlumuran darah,” katanya.

Susulan keadaan itu, wanita berkenaan menjerit sekuat hati, sekali gus mengejutkan ahli keluarga yang lain.

Ahli keluarga yang panik, terus membawa bayi terbabit ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.