[VIDEO] Kanak-kanak terbelit tali layang-layang gergasi, terangkat ke udara

TAIPEI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Taiwan, dilaporkan selamat selepas dirinya terbelit tali layang-layang sehingga terangkat beberapa meter ke udara.


Channel News Asia (CNA) melaporkan kanak-kanak yang tidak dikenali identitinya itu mengambil bahagian dalam festival layang-layang di bandar tepi laut, Nanliao, semalam, sebelum terperangkap pada layang-layang gergasi berwarna oren.





Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan kanak-kanak terbabit berpusing beberapa kali di udara sambil disaksikan kumpulan orang dewasa yang berkerumun, selama kira-kira setengah minit sebelum ‘mendarat’ semula ke tanah dengan tangan terentang.




Laporan berita menyatakan bahawa kanak-kanak itu ketakutan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam insiden berkenaan.

Pihak berkuasa di Hsinchu menghentikan festival layang-layang itu selepas kejadian terbabit. – Agensi