[VIDEO] Jangan bunyi hon jika terserempak gajah: PERHILITAN

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perak menasihatkan pemandu kenderaan terutama pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) supaya bersabar sekiranya terserempak gajah di jalan raya.



Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, antara tindakan penting ketika berdepan dengan situasi itu ialah bertenang, jangan panik dan membuat provokasi yang boleh menyebabkan gajah rasa diancam.

Katanya, pemandu turut diingatkan supaya bersabar sementara menunggu gajah itu melintas.

“Saya nasihatkan sekiranya berdepan situasi terserempak gajah di tengah jalan, pemandu perlu bersabar, jangan pasang lampu tinggi kalau malam, jangan bunyikan hon dan paling penting jangan cuba halau gajah itu,” katanya ketika diminta mengulas kejadian gajah pijak bonet kereta dinaiki lima orang, malam tadi.

Lima individu bernasib baik, apabila berjaya keluar untuk menyelamatkan diri apabila kenderaan mereka dipijak gajah yang mengamuk selepas sebuah kereta lain membunyikan hon.

Kejadian menakutkan itu berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, kira-kira jam 7 malam tadi.





Kenderaan itu dikatakan menghala ke Perak dari Kelantan dan kejadian berlaku tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Seorang pemandu sebuah kenderaan yang juga datang dari arah Kelantan yang tidak dikenali mendakwa mengetahui kejadian itu daripada seorang mangsa.

“Puncanya ketika gajah berada di tengah jalan mereka memberhentikan kereta, tiba-tiba kereta belakang membunyikan hon.

“Kejutan bunyi hon itu menyebabkan gajah berkenaan bangun sebelum mengamuk dan memijak bonet kereta mereka, lima orang dalam kereta itu nasib baik sempat keluar dan lari tinggalkan kereta,” katanya menerusi satu pesanan suara.

Berdasarkan individu berkenaan, kelima-lima mangsa terpaksa menumpang kenderaan lain untuk berpatah balik dan berhenti di Hentian (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.





Katanya lagi, isteri pemandu kenderaan terbabit menangis apabila diberitahu kereta mereka rosak dipijak gajah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan kecil.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa,” katanya.