Nikah ekspres Farouk & Ali

DENGAN hanya bermodalkan RM1,000, seorang lelaki Bangladesh boleh menikahi wanita warga tempatan dengan bantuan ‘tok kadi’ senegaranya yang menawarkan perkhidmatan itu sejak beberapa bulan lalu.

Tindakan terdesak itu hanya digunakan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka menetap lebih lama di negara ini selain memudahkan urusan perniagaan yang bakal menggunakan identiti wanita tempatan dinikahinya.

Modus operandi licik itu dikesan dilakukan dua lelaki Bangladesh dikenali sebagai Farouk dan Ali dengan menjadikan sebuah rumah di pangsapuri di Seksyen 25 di sini, sebagai markas.



Difahamkan lokasi itu menjadi tumpuan sindiket beroperasi berikutan kawasan itu didiami ramai warga asing khususnya Bangladesh, Myanmar dan Nepal sejak beberapa tahun lalu.

Berperanan sebagai tok kadi, dua lelaki terbabit menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakan senegara yang mahu bernikah dengan wanita tempatan tanpa perlu melalui prosedur ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

Mendedahkan kegiatan itu, Pengerusi Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor, Datuk Nazilah Idris mendakwa aktiviti tidak bermoral itu dikesan selepas video dan gambar pernikahan itu tular di laman sosial sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada persatuan penduduk pangsapuri, dua lelaki Bangladesh itu menyewa di sebuah rumah sejak beberapa tahun lalu namun kegiatan nikah ekspres itu disedari, baru-baru ini.




“Biasanya lelaki Bangladesh atau bakal pengantin lelaki ini mencari wanita tempatan berusia untuk dinikahi.

“Mereka anggap taktik itu memudahkan mereka untuk menjalankan perniagaan yang kini tidak boleh dikendalikan warga asing susulan tindakan tegas kerajaan.

“Menerusi pernikahan itu mereka beranggapan hasrat menjalankan perniagaan lebih mudah kerana sudah beristerikan wanita tempatan walaupun tanpa sebarang dokumen pengesahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, wanita warga tempatan diberi nafkah bulanan kerana membenarkan identiti mereka digunakan dalam permohonan lesen.




“Sebarang masalah berkaitan pihak berkuasa tempatan diuruskan si isteri,” katanya.

Tambahnya, lelaki warga asing itu menggunakan alasan kedai diusahakan adalah milik isteri sekiranya pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Kegiatan nikah pantas ini dikesan giat berlaku selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita perniagaan diusahakan warga asing termasuk individu yang menyalahgunakan permit kerja di negara ini,” katanya.

Nazilah berkata, tindakan sedemikian perlu dikekang secara menyeluruh kerana ia dikhuatiri akan memesongkan akidah umat Islam kerana pernikahan dijalankan tidak menepati syarat sah seperti ditetapkan.