Lelaki terputus kaki akibat elak batu

GARA-GARA mengelak batu di tengah jalan, lelaki putus sebelah kaki apabila motosikal ditungganginya terlanggar penghadang jalan di Kilometer 55 Jalan Sungai Gawi-Aring, dekat Kampung Bukit Kawah, Hulu Terengganu, semalam.




Ketika kejadian, mangsa, Mustofa Kamal Abdullah, 33, dari Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang dikatakan dalam perjalanan konvoi bermotosikal bersama lapan rakan untuk ke Cameron Highland, Pahang, pada 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa berada di bahagian belakang barisan konvoi bersama seorang rakan, Muhamad Haziq Izzuddin Mohd Yusoff, 25.

“Apabila tiba di satu selekoh berhampiran tempat kejadian, mangsa bersama Muhamad Haziq Izzuddin dikatakan cuba mengelak serpihan batu yang berada di tengah jalan.

“Ketika mengelak batu terbabit, berlaku pergeselan antara motosikal mangsa dengan motosikal ditunggangi Muhamad Haziq Izzuddin menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke kiri jalan,” katanya di Hulu Terengganu, hari ini.




Beliau berkata, berikutan kejadian itu, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal terbabit sebelum kenderaan itu terlanggar besi penghadang sebelah kiri jalan menyebabkan sebelah kakinya terputus,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, semua rakan mangsa membatalkan perjalanan sebelum membawa mangsa ke Hospital Hulu Terengganu.

Mohd Adli berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Muhamad Haziq Izzuddin yang menunggang Yamaha RXS dari Kampung Baru, Rhu Muda, Marang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.