Lelaki melecur disambar api ketika isi minyak

SERDANG – Seorang lelaki melecur selepas disambar api ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Besar Seri Kembangan malam tadi.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.11 malam.

“Sejurus tiba, anggota penyelamat mendapati kereta jenis Audi terbakar 10 peratus di bahagian pintu belakang dan permukaan bahagian hadapan pam di stesen minyak itu turut terbakar 30 peratus.




“Sewaktu kejadian, mangsa berusia 31 tahun itu terkena sambaran api di bahagian muka, tangan dan kaki selepas dipercayai tidak mematikan enjin sewaktu mengisi minyak kereta,” katanya dalam satu kenyataan.




Menurutnya, mangsa yang melecur di bahagian tangan dan kaki dihantar ke Hospital Serdang menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Komander operasi turut mengarahkan anggota membuat pemeriksaan di lokasi bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.