‘Influencer’ TikTok di AS semakin resah

LOS ANGELES: Di dalam sebuah rumah agam mewah di di Hollywood Hills, sekumpulan pempengaruh (influencer) muda TikTok mula bergerak aktif sejak matahari pagi mula melimpahkan cahaya.

Mereka perlu segera memikirkan idea baharu untuk pembikinan video pendek yang menarik sambil berharap ia akan tular.
Pada masa yang sama, mereka juga sangat bimbang tentang masa depan mereka.


Kids Next Door LA adalah salah satu rumah TikTok di seluruh Amerika Syarikat (AS), yang menjadi tempat para remaja tinggal, tidur dan membuat sesi lampas otak demi mendapatkan idea kreatif.

Idea kreatif itu diterjemah dalam bentuk tarian dan video muzik supaya dapat menarik perhatian jenama tertentu untuk memeterai perjanjian bernilai jutaan dolar untuk kumpulan influencer itu.

Namun, kehidupan mereka kini dalam risiko berikutan perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang mahu mengharamkan aplikasi media sosial berkenaan jika syarikat induk China pemiliknya, ByteDance, tidak bersetuju dengan tawaran pembelian AS menjelang pertengahan September.

“Dalam tempoh dua atau lima bulan lagi, mungkin, semua orang akan terjejas teruk. Semua orang akan hilang sumber pendapatan. Saya rasa apa yang Trump lakukan itu bodoh,” ujar Adam Miguest, 27.

Miguest yang juga dikenali sebagai @itsadamm dalam TikTok merupakan salah seorang daripada tujuh influencer di dalam rumah itu.

Walmart Inc pada minggu ini memberitahu, akan menyertai Microsoft dalam pembidaan aset TikTok AS. ByteDance dijangka akan memilih pembida dan meneruskan perbincangan eksklusif pada Jumaat. Namun belum jelas sama ada sebarang perjanjian baharu akan menjejaskan masa depan pembikin video dan video yang digilai jutaan pengikut.

Claire Hesser, 18, seorang bekas ratu cantik, berkata TikTok adalah sebahagian besar daripada budaya golongan remaja.

“Jika ia ‘dirampas’. Saya rasa ia akan lebih menyakitkan, berbanding memberi manfaat.




“Saya cuma berharap mereka faham bahawa TikTok mempunyai impak dalam dunia hari ini dan generasi kami khususnya,” katanya.

Ini bukan lagi soal influencer yang bimbang akan situasi semasa, malah perkembangan setakat ini meresahkan jenama besar yang sering menjalin kerjasama dengan mereka.

“Mungkin pemilik bisnes akan menghentikan jualan di gedung dan akan membuat strategi e-perdagangan yang melibatkan TikTok. Ini akan menjejaskan pelbagai industri – terutamanya industri muzik kerana banyak karya lagu tular menerusi TikTok,”ujar Ariadna Jacob, yang memiliki syarikat pengurusan ke atas Kids Next Door LA.





Hailey Orona, yang dikenali dalam dunia maya sebagai @real.ona, memiliki 9.5 juta pengikut dan dalam perancangan untuk melancarkan produk kecantikannya sendiri. Jika sesuatu yang ‘buruk’ terjadi selepas ini pada TikTok, dia terpaksa kembali ke 2.8 juta pengikut di akaun Instagramnya.

“Jika ia diharamkan, saya ada pelan sokongan, pastinya untuk beralih ke platform YouTube atau menggunakan Reels di Instagram,” kata Orona.
– Reuters