Didenda RM2,000 kerana cuai anjing serang orang awam

MELAKA: Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang wanita, bulan lalu.

Liew Sea Hai, 43, yang bekerja sebagai nelayan, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.





Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan cuai menyebabkan haiwan peliharaannya itu mencederakan Purba Evita Kristina, 23, di hadapan rumah Nombor 5, Jalan Marikh 8, Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini kira-kira jam 9.30 malam pada 27 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Surendran Chelvarajah, memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana menyesali kejadian terbabit.

“Anjing OKS (orang kena saman) juga sudah dirantai, tetapi kecuaiannya pada hari kejadian adalah membiarkan pagar rumah itu terbuka.

“Ketika kejadian, rantai besi yang mengikat anjing terputus menyebabkan ia lari keluar daripada rumah disewanya,” katanya.





Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman, memohon hukuman berat kerana kes berkenaan sudah tular dan perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Mohamad Izwan kemudian menetapkan denda maksimum RM2,000, manakala penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan anjing terbabit diserahkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk tindakan susulan.

Pada 29 Julai lalu, seorang wanita cedera selepas diserang dan digigit anjing belaan ketika berjalan di sebuah kawasan perumahan di Tanjung Minyak.

Ketika kejadian, mangsa terpaksa menggunakan tangannya untuk mempertahankan diri daripada terus diserang haiwan terbabit yang cuba menggigit lehernya.