Twitter digodam besar-besaran

San Francisco: Akaun rasmi twitter milik Apple, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX Elon Musk, CEO Amazon Jeff Bezos dan beberapa akaun lain digodam semalam oleh penggodam untuk menipu orang ramai menghantar transaksi bitcoin cryptocurrency.

Mangsa pengodaman secara besar-besaran itu turut membabitkan akaun twitter bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, bekas Timbalan Presiden AS Joe Biden, Uber, pengasas bersama Microsoft, Bill Gates, firma khusus bitcoin dan banyak lagi.

“Kami menyedari isu keselamatan yang memberi impak terhadap akaun di twitter,” ciap pengendali twitter di media sosial itu hari ini.





“Kami (twitter) menyiasat dan mengambil langkah lanjut untuk memperbaikinya. Kami akan maklumkan perkembangan terkini kepada semua dalam masa terdekat.”

Biden memberitahu AFP, Twitter sudah menutup akaun rasminya yang digodam dan memadam ciapan palsu yang dimuat naik penggodam.

Susulan itu juga, twitter menghalang penggodam membuat ciapan daripada akaun berprofil tinggi yang disahkan, terutama akaun yang mempunyai tanda semak biru rasmi media sosial itu.

“Anda mungkin tidak dapat membuat ciapan atau menetapkan semula kata laluan anda sementara kami dalam usaha kami menangani kejadian ini,” kata pasukan sokongan twitter dalam satu hantaran.





Twitter Hack: Apple, Gates, Obama, Musk, and Other High-Profile ...Sebahagian besar ciapan penggodam sudah dihapus dan dikeluarkan daripada pelbagai akaun twitter berprofil tinggi yang memaparkan status penipuan dengan memberitahu pengguna twitter bahawa mereka mempunyai masa 30 minit untuk menghantar Dolar AS 1,000 (RM4,265) dalam bentuk bitcoin bagi penebusan dua kali ganda.

Susulan itu, pengasas bersama pertukaran crypto currency Gemini, Cameron Winklevoss memberi amaran dari akaun rasminya di twitter, “Ini scam, jangan ikut serta.”

Bagaimanapun, akaun rasmi twitter Presiden AS, Donald Trump, yang memiliki lebih 83 juta pengikut tidak digodam.

Twitter sebelum ini pernah dijadikan sasaran penggodam. Pada Mac 2017, akaun Amnesty International, Kementerian Ekonomi Perancis dan BBC North America digodam oleh penggodam yang dipercayai ada kaitan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Ogos lalu, beberapa siri ciapan palsu yang berbaur perkauman dimuat naik dalam akaun peribadi pengasas twitter, Jack Dorsey tanpa pengetahuannya.