Pasangan kekasih ditahan, kes campak bayi dari tingkat 13

GEORGETOWN: Pasangan kekasih masing-masing berusia 18 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian bayi lelaki dicampak dari tingkat 13 sejurus dilahirkan di Bandar Baru Farlim, Air Itam, di sini, pagi tadi.




Remaja wanita terbabit yang juga penuntut di sebuah kolej ditahan di rumahnya manakala teman lelakinya yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan di Jalan Penawar di sini, jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi terbabit di tingkat empat kawasan parkir sebuah apartment di sini jam 8.25 pagi.





Katanya, lelaki berkenaan mendakwa menemui bayi itu dalam keadaan tidak berpakaian dan tidak bergerak sebelum menghubungi balai polis berhampiran.

“Bayi malang berkenaan dipercayai dilahirkan pada jam 7 pagi tadi dalam keadaan cukup sifat.

“Mayat bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi dibedah siasat, ” katanya.