Lima sekeluarga ditemui kepenatan, sesat di hutan simpan

SHAH ALAM – Lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui dalam keadaan kepenatan dan dahaga selepas tersesat di kawasan hutan simpan berhampiran Setia Eco Park di sini pagi tadi.





Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Hafisham Mohd Noor berkata, bomba menerima panggilan daripada salah seorang mangsa pada jam 11.23 pagi yang memaklumkan sesat di hutan itu.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik ke lokasi sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat.





“Empat wanita yang sesat merupakan adik-beradik iaitu Nor Fadilah Che Hashim, 33; Nor Wahidah, 32; Nor Nazihan, 28 dan Nor Sakinah, 24. Turut tersesat dalam insiden itu Nur Hana Humairah Ahmad Latifi.

“Mereka dikatakan masuk ke hutan itu pada awal pagi untuk melakukan aktiviti mendaki,” katanya kepada Sinar Harian.

Hafisham memberitahu, kesemua mangsa ditemui anggota bomba pada jam 1.36 petang dan dibawa keluar dari hutan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.