Imej seksi bukan penghalang bakat

KUALA LUMPUR: Ketika tumpuan diberikan kepada imej seksinya, pelakon baharu, Scha Elinnea, 21, perlahan demi perlahan menyusun langkah membuktikan bakat dimilikinya.


Sejak mula diperkenalkan menerusi drama rantaian Mr Grey pada 2018, pemilik nama sebenar, Natasha Mohamed Mubeen itu beroleh rezeki lakonan tidak putus.

Ketika ini, gadis kelahiran Kelantan yang membesar di Kedah itu sedang melunaskan penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Productions dan Cinta Yang Pulang (Suhan Movies).

“Bagi saya, soal apa yang dipakai tak boleh diukur dengan kerjaya saya sebagai anak seni. Soal imej lebih kepada gaya hidup dan fesyen.




“Pada usia sekarang, saya selesa bergaya dan menjadi diri sendiri. Saya percaya saya akan berubah gaya seiring dengan peningkatan usia pada masa akan datang.

“Saya pilih dunia lakonan untuk mencabar diri dalam berkongsi bakat dimiliki. Berilah apa sahaja watak, saya suka cabarannya. Watak antagonis pun saya akan cuba hidupkan. Bagi saya, setiap hari menjadi ruang mencuba dan menguji diri,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Nasi Kerabu Untuk Cik Abe itu berkata, dia mahu terus mencuri kesempatan berlakon di sisi pelakon yang hebat.

“Macam sekarang saya berpeluang berlakon di sisi Rozita Che Wan, Hun Haqeem dan Wani Kayrie dalam drama Dayang Senandung, manakala untuk drama Cinta Yang Pulang, saya bergandingan bersama Ummi Nazeera yang kita ketahui cukup berbakat besar serta profesional,” katanya.





Mengulas watak dalam drama Dayang Senandung, Scha berkata, dia melakonkan watak Mayang Kamelia.

“Karakter gila glamor, kuat berangan dan bimbo,” katanya.

Mengenai Rozita Che Wan atau Che Tayang menjadi ibunya, Scha berkata, dia senang bergandingan dengan pelakon yang tebal dengan sisi humor itu.

“Dia sangat profesional. Banyak memberi tunjuk ajar dan membantu saya di lokasi penggambaran. Kami cepat serasi mungkin selesa bercakap loghat utara. Sikap lucunya pun boleh tahan,” katanya.



,