Hukuman penjara, sebatan tentera rogol isteri rakan kekal

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan dihadapi seorang anggota tentera yang disabitkan kesalahan merogol isteri rakannya semasa bermalam di rumah pasangan itu empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan terakhir Koperal Mohd Zulkarnain Abdul Razak selepas mendapati rayuannya tidak mempunyai merit.


Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan P Ravinthran dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Ampang dan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Sesyen Ampang pada 2017 mendapati Mohd Zulkarnain bersalah terhadap pertuduhan merogol wanita itu ketika itu berusia 25 tahun di dalam bilik tidur apartmentnya di Ampang, Selangor pada jam 3.30 pagi, 12 Julai 2016.

Mohd Zulkarnain, 40, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Sesyen itu.

Mohd Zulkarnain gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mahkamah itu pada 13 Februari tahun lepas menolak rayuannya mendorongnya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Mohd Zulkarnain, dalam pembelaannya, tidak menafikan yang dia bermalam di rumah mangsa tetapi menafikan dia merogol wanita itu.




Peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin mewakili Mohd Zulkarnain manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian jam 3.30 pagi 12 Julai 2016, semasa mangsa berumur 25 tahun sedang tidur bersama anaknya di dalam bilik, mangsa tersedar apabila dia merasakan dia dihempap dan dalam keadaan gelap dan separuh sedar kerana mengantuk. Mangsa merasakan ada berlaku kemasukan ke dalam kemaluannya.

Difahamkan, tertuduh datang ke rumah pasangan itu untuk menumpang tidur selama sehari.




Apabila mangsa membuka matanya sedikit, ternampak seorang lelaki berkepala botak yang mana mangsa menyangka lelaki itu adalah suaminya kerana suaminya juga berkepala botak.

Tertuduh juga cuba meliwat mangsa, menyebabkan mangsa terkejut lalu bangun dan melihat lelaki itu bukan suaminya, sebaliknya rakan suaminya yang berada dalam keadaan bogel.

Mangsa terus menjerit, namun tertuduh meminta mangsa tidak bising dan dia segera memakai pakaiannya dan meninggalkan mangsa. Mangsa kemudian menghubungi dan memaklumkan kejadian itu kepada suaminya.