Hampiri 1 juta pengikut YouTube tidak halang Sugu Pavithra memadam semua video

IPOH: Pasangan YouTuber dikenali ramai melalui saluran mengenai masakan, Sugu Pavithra, membuat keputusan untuk tidak ada kaitan lagi dengan laman YouTube.




M Sugu, 29, berkata semua video pernah dimuat naik sebelum ini dalam saluran YouTube bersama isteri, S Pavithra, 28, dipadam kerana mereka enggan lagi terbabit dengan perkara yang boleh meraih perhatian umum.

“Kami tidak mahu lagi ada kena-mengena dengan YouTube,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mereka kini hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan menjalani kehidupan seperti orang biasa.





“Ramai lagi YouTuber masakan yang lagi hebat dan bagus. Kami hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, mereka berdua masih belum memikirkan perancangan seterusnya.

Semalam, pasangan itu dilaporkan bertindak memadam semua video dihasilkan mereka selama ini.

Sepanjang tempoh mengendalikan saluran itu, mereka telah berkongsi 98 video yang meraih lebih 34 juta tontonan.